
Monday, February 13, 2012
Mira in the middle

Sunday, February 12, 2012
Bab 1
Bab 1
Petang itu cuasa agak panas berbanding hari-hari sebelumnya. Terik matahari seolah-olah tidak memberi keizinan untuk kanak-kanak di Kampung Parit Tengah bermain di luar. Namun, sebagai seorang kanak-kanak yang baru berumur enam tahun, itu bukanlah penghalang kepada Hanisah untuk keluar bermain.
Langkah kaki diatur perlahan agar si ibu tidak menyedari tindakannya. Hanisah pasti Didi sedang menunggunya di bawah pokok ketapang di simpang jalan. Pasti Didi membawa ‘sesuatu’ yang dijanjikannya semalam. Pasti ianya mainan baharu. Pasti ianya seronok. Hanisah tersenyum seorang diri. Terasa teruja untuk berjumpa dengan Didi. Langkah kakinya dipercepatkan. Kreeuk.. Bunyi lantai rumah kayu akibat dipijak orang itu mengejutkan si ibu.
“Aha.. nak ke mana tu?” suara si ibu sudah kedengaran.
Hanisah tidak berani menoleh. Kakinya sudah melangkah pantas menuju ke tangga rumah.
“Aniiiiii!”
Si ibu sudah bertempik sambil bercekak pinggang. Lantas selipar disarung lalu dia terus berlari. Lantaklah apa yang akan jadi nanti. Aku mesti jumpa Didi. Dalam terkocoh-kocoh berlari mulutnya masih mampu tersenyum. Membayangkan sesuatu yang menarik yang bakal ditunjukkan Didi nanti. Di kepalanya sudah terbayang yoyo, brick game, dan game card seperti yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak lain . Sudah bosan rasanya bermain police entry, teng-teng, kahwin-kahwin dan baling selipar. Sekali-sekala teringin juga menayang permainan baharu di hadapan geng Fiza. Bukan dia seorang sahaja yang mampu menayang alat mainan baharu. Senyuman Hanisah semakin lebar.
Seperti yang dijangka Didi sudah menunggu Hanisah di bawah pokok ketapang. Hanisah tersenyum-senyum ke arah Didi. Semakin Hanisah menghampiri Didi dia perasan sesuatu yang berlainan pada Didi. Tiada yoyo, brick game mahupun game card di tangan Didi. Tetapi Didi memakai....
“Didi.”
Hanisah memanggil nama Didi sambil mengerutkan dahi. Didi bangun dari tunggul kayu di bawah pokok ketapang itu. Kanak-kanak lelaki itu memusing-musingkan badannya.
“Cantik tak?”
“Apa yang cantik?”
“Skirt ni lah..Aku ambil dari almari Kak Eton.”
“Kenapa kau pakai skirt?”
“Aku nampak kau pakai skirt cantik. Aku pun nak pakai juga.”
“Tapi, kau kan lelaki?”
Didi tersengih-sengih. Ya, Didi adalah seorang budak lelaki. Tetapi bukankah lelaki tidak boleh memakai skirt? Hanisah keliru.
“Kau pakai sebab kau suka?”
Didi angguk. “Cantik kan? Aku suka ia mengembang bila aku berpusing.”
Spontan Didi memusingkan badannya berulang-ulang kali.
“Nanti kau pening.”
“Tak pe.”
Hanisah turut sama berpusing. Rasa kecewa akibat ketiadaan yoyo, brick game atau game card sirna tiba-tiba.
“Didi!!!”
Entah dari mana muncul Kak Eton lalu menarik telinga Didi.
“Kau curi skirt akak ya?”
“Aduh, sakitlah.. Didi pinjam je, nak buat main”
“Kau lelaki, mana boleh pakai skirt. Tengok, habis kotor skirt akak kena tanah. Kau ni pendek, kain akak ni labuh. Kotorlah kain akak. Jom balik. Akak nak report kat mak!”
“Tak nak, tak nak. Nanti mak marah.”
“Balik!”
Kak Eton sudah menarik tangan Didi. Hanisah masih kaku berdiri. Dia terkejut dengan adegan dua beradik itu. Dia berazam tidak mahu memakai skirt. Oh Didi..kasihan kau.