Wednesday, June 10, 2009

Hadiah Terbaik Untuk Bapa.....


Hari Ibu disambut meriah setiap tahun. Tidak ramai yang menyedari hari kewujudan bapa atau bila tarikh sebenar hari yang tidak kurang pentingnya ini. Tiada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh sepertimana anugerah yang diterima oleh kaum ibu setiap tahun.

Tidak dinafikan pengorbanan bapa sememangnya besar. Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinan bapa. Hal ini meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara keluarga, dan mempertahankan maruah. Justeru pengorbanan bapa tidak ternilai harganya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Hari Bapa yang hadir pada bulan Jun setiap tahun tidak harus dibiarkan tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak kita sememangnya dituntut untuk menghargai jasa dan pengorbanan bapa yang membesarkan kita.

Justeru, bersempena hari Bapa yang jatuh pada 21 Jun ini, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) telah menawarkan pakej hadiah istimewa untuk ayah tercinta di samping meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka yang lebih memerlukan.

Anda boleh membeli barangan berbentuk sumbangan dengan harga serendah RM600 untuk sebuah perigi bagi pihak ayah tersayang. Barangan yang anda beli akan disedekahkan di Bangladesh bagi mengatasi masalah kekurangan air dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan. Untuk pengetahuan kita semua, terdapat segelintir kaum wanita yang terpaksa berjalan 10km demi mendapatkan hanya sebaldi air sahaja.

Setelah segala urusan selesai, Muslim Aid akan mengeluarkan sijil yang tertulis nama bapa berserta gambar perigi yang telah dihadiahkan. Sebagai tanda terima kasih daripada penerima, satu papan tanda yang menyatakan ucapan penghargaan kepada penderma (bapa anda) akan didirikan berdekatan perigi yang telah disumbangkan.Pastinya hadiah yang anda hadiahkan kepada bapa anda adalah tahan lama, memberi faedah kepada banyak pihak, berharga, bermutu tinggi, sentiasa dikenang dan insyaAllah amalan ini boleh dibawa ke akhirat kelak.

Contoh sijil yang akan dikeluarkan

No comments:

Post a Comment